IPOH:Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengesahkan tapak pelupusan sisa buangan yang ditemui di kawasan hutan di Kampung Ulu Chepor tidak dilesenkan sebagai tapak buangan sisa berjadual.

Berdasarkan rekod jabatan, kawasan seluas 0.5 hektar itu juga tidak mendapat sebarang kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, pihaknya menunggu laporan analisis Jabatan Kimia yang dijangka dalam masa sebulan untuk mengetahui kandungan sampel yang diambil dari kawasan tersebut.

"Apabila kita sudah sahkan buangan tersebut, kalau ia berbahaya atau buangan terjadual, atau bahan kimia berbahaya, maka dengan itu kita boleh gunakan kuasa di bawah akta sedia ada bagi mengarahkan pemilik tanah untuk melakukan pengorekan.

"Ia supaya kita boleh melihat sejauh mana penanaman bahan berwarna ini di tapak berkenaan, dan seterusnya kita mahu mengetahui daripada mana bahan tersebut diperolehi," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini. 

JAS menunggu laporan analisis Jabatan Kimia untuk mengetahui kandungan sampel yang diambil dari kawasan tersebut. - Astro AWANI

BACA: Pesara guru gemar kumpul sampah bakal diberi kaunseling 

BACA: SAM minta pihak berkuasa siasat bahan buangan di Ulu Chepor 

Pada Rabu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa JAS Perak dan pihak berkuasa menyiasat bahan buangan dipercayai sisa industri secara kambus tanah di kawasan berhampiran sebuah resort di kampung tersebut.

Katanya, SAM menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti pelupusan di kawasan itu sejak setahun lalu dan telah membuat laporan kepada JAS negeri dan polis. 

Bahan buangan dipercayai sisa industri secara kambus tanah di kawasan yang bukan ditetapkan di atas tanah milik persendirian seluas 0.5 hektar berhampiran sebuah resort di Kampung Ulu Chepor, dekat Chemor, 7 Okt, 2020. --fotoBERNAMA

Rosli berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengenal pasti pemilik tanah di samping mendapatkan petunjuk-petunjuk baharu di tapak dan menemubual penduduk kampung.

Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

JAS akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengenal pasti pemilik tanah di samping mendapatkan petunjuk-petunjuk baharu di tapak. - Astro AWANI